Background

Friday 1 April 2011

PENULISAN ILMIAH: CIRI-CIRI DAN KEPERLUAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS


1.0 PENDAHULUAN

Susan K. Golant mendefinisikan kanak-kanak pintar cerdas sebagai mereka yang mempunyai minat yang tinggi dalam untuk belajar serta mempunyai rasa ingin tahu yang sangat tinggi dalam mendalami sesuatu perkara yang tidak difahaminya. Selain itu, kanak-kanak ini mampu menggabungjalinkan beberapa komponen maklumat untuk menghasilkan satu idea yang baru dan bernas. Persoalannya, adakah benar pernyataan-pernyataan ini dapat menggambarkan ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas? Tidakkah ciri-ciri ini juga ada di dalam diri seorang kanak-kanak biasa?
Francis Galton pula menyatakan kanak-kanak pintar cerdas sebagai seseorang yang mempunyai daya penaakulan yang tinggi dan melihat sesuatu itu di dalam perspektif yang berbeza daripada orang biasa. Dalam erti kata lain, kanak-kanak ini mempunyai pemikiran kognitif yang arasnya adalah lebih tinggi daripada individu lain. Pandangan yang dilontarkan oleh Galton adalah amat bernas kerana bukan semua individu mempunyai pemikiran kognitif yang tinggi serta memerlukan penerokaan yang lama untuk diambil oleh seseorang individu biasa. Dalam penulisan ini, perbincangan adalah berfokus kepada pengenalpastian ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas serta keperluan mereka dalam mengasah kepintaran yang dimiliki oleh mereka.
Cara yang berkesan untuk melihat keperluan kanak-kanak pintar cerdas adalah dengan melihat dari sudut ciri-ciri pelakuan mereka. Pengenalpastian ciri-ciri kepintaran seseorang individu adalah langkah penting dalam menyediakan program yang membuahkan kejayaan dengan program yang sesuai serta menepati keperluan kanak-kanak pintar cerdas (Cox, Daniel & Boston, 1985). Dengan cara ini, ciri-ciri ini dapat diterjemahkan menjadi satu set keperluan pendidikan yang dapat digunapakai di sekolah. Ciri-ciri kognitif dan afektif kanak-kanak pintar cerdas yang dikenalpasti dapat membantu mencorak aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka dalam kurikulum pendidikan di sekolah.
Terdapat beberapa tokoh yang menjadi perintis dalam membuat program-program khusus untuk golongan kanak-kanak pintar cerdas. Antara tokoh yang ada adalah Lewis Terman (1925) dan Leta Hollingworth (1926) telah memberikan pendedahan terhadap ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas berdasarkan pemerhatian tingkah laku dan kajian kes. Selain itu, Witty (1930), Benbow dan Stanley (1983) telah mengkategorikan perbezaan ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas mengikut latarbelakang keluarga, tahap keupayaan dan minat.


2.0 CIRI-CIRI KOGNITIF KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Kanak-kanak pintar cerdas kebiasaannya menonjolkan ciri-ciri kepintarannya dalam pemikiran kognitif semasa peringkat awal perkembangan umurnya lagi. Jika didikan yang sempurna dan betul diterapkan, tidak mustahil ciri-ciri ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Apabila tiada didikan atau panduan diberikan, kebanyakkan ciri-ciri ini akan menjadi sesuatu yang negatif dalam proses pembelajarannya dan ia akan tersimpan dan tersembunyi dari diterokai kerana kanak-kanak ini masih mentah untuk membuat keputusan sendiri. Kognitif merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menyelesaikan masalah, membuat penaakulan, menganalisis dan juga membentuk konsep.
Apabila menimbang ciri-ciri kognitif kanak-kanak pintar cerdas, beberapa perkara perlu diambil kira. Semua perkara ini telah disenarai oleh Jon VanTassel Baska (2007). Pertama, tidak semua kanak-kanak pintar cerdas menunjukkan semua ciri-ciri seorang kanak-kanak pintar cerdas. Kanak-kanak itu mungkin mempunyai beberapa gabungan ciri-ciri atau mungkin kanak-kanak tersebut bukan seorang kanak-kanak pintar cerdas hanya kerana pencapaian akademiknya cemerlang di atas usaha pembelajarannya yang berterusan.
Kedua, terdapat satu jurang yang memisahkan kanak-kanak ini terhadap satu ciri dengan satu ciri yang lain. Pada dasarnya kemungkinan kanak-kanak ini mempunyai satu ciri yang ketara dalam diri mereka. Namun, setelah diterokai, ciri-ciri lain mungkin akan timbul sepanjang aktiviti penerokaan yang dilakukan.
Ketiga, ciri-ciri kanak-kanak pintar ini bagi sesetengah senario tidak akan dimiliki oleh kanak-kanak ini. Ianya bersifat perkembangan dari masa ke semasa. Kanak-kanak ini akan menunjukkan ciri-ciri kanak-kanak pintar apabila mereka membesar. Ada juga kes di mana kanak-kanak ini sejak dari awal menunjukkan ciri-ciri tersebut.
Keempat, terdapat juga berlaku bagi seseorang kanak-kanak pintar cerdas memiliki satu kelompok ciri-ciri pintar cerdas yang berbeza-beza. Contohnya Abu memiliki ciri-ciri gabungan berupaya memanipulasi sistem simbol dan mempunyai daya tumpuan yang tinggi. Manakala, Siti memiliki ciri-ciri seperti mempunyai intuisi dalaman tentang rasa ingin tahu yang tinggi dan minat terhadap bahasa. Ciri-ciri ini tidak dimiliki oleh Abu.
Kelima, kanak-kanak ini hanya dapat diterokai kepintarannya apabila mereka didedahkan kepada minat mereka yang sebenarnya. Di situ kita dapat lihat bagaimana dari kanak-kanak biasa, mereka berubah menjadi individu yang pintar apabila mereka menerokai bidang yang mereka minati. Seterusnya, kita membincangkan secara mendalam beberapa ciri-ciri kanak-kanak pintar yang dimiliki oleh mereka.


2.1 Keupayaan memanipulasi sistem simbol yang abstrak.
Kanak-kanak pintar yang memiliki ciri ini mempunyai sistem pembelajaran sejak dari awal lagi seperti bahasa dan matematik. Mereka ini mudah dikenalpasti oleh ibubapa dan guru sejak dari peringkat awal kanak-kanak. Mereka menunjukkan kemahiran mereka memanipulasi bahasa dan nombor seperti keupayaan menyelesaikan set teka-teki atau bermain dengan analogi bahasa.

2.2 Daya konsentrasi yang tinggi
Kanak-kanak pintar cerdas kebanyakkannya menunjukkan minat yang tinggi terhadap kerja-kerja projek yang melibatkan mereka membuat penerokaan terhadap seseuatu bidang contohnya mereka dikehendaki membuat projek sains atau projek khas yang boleh dilakukan oleh segelintir orang sahaja. Kanak-kanak ini menunjukkan athap konsentrasi dan keupayaan memfokus terhadap sesuatu permasalahan itu dalam tempoh masa yang agak lama. Mereka ibarat seseorang yang taksub terhadap perkara yang mereka lakukan tanpa menghiraukan perkara lain. Hakikatnya, ciri ini adalah komponen yang amat penting kepada seorang kanak-kanak pintar dan ianya boleh dipupuk oleh guru-guru. Minat dan rasa ingin tahu di dalam bidang-bidang tertentu sejak dari awal boleh menghasilkan kepakaran dalam bidang pengetahuan tertentu disamping menjadi asas penting kepada penentuan kerjaya seseorang kanak-kanak pintar cerdas.

2.3 Daya ingatan yang luar biasa
Memori merupakan komponen yang penting dalam perolehan maklumat. Ramai kanak-kanak intar cerdas dari peringkat perkembangan awal kanak-kanak memiliki memori yang luar biasa di mana mereka mampu mengingati sesuatu maklumat itu dengan cepat walaupun hanya pertama kali didedahkan kepada mereka. Contohnya, seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun mampu menghafal nombor plat kereta, nombor telefon rumah dan lain-lain lagi. Begitu juga ibarat seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang mampu menghafal cerita kegemarannya walaupun baru dibacanya kali pertama sahaja. Walaupun memori merupakan aspek penting dalam kepintaran seseorang, ianya juga boleh menjadi sesuatu yang tidak bermakna jika tidak digunakan pada tempat yang betul. Memori yang baik adalah di mana ianya digunakan untuk menggabungjalinkan antara satu maklumat dengan satu maklumat yang lain menjadi satu siri maklumat yang bermakna. Contohnya, pelajar dapat membuat perkaitan di antara tajuk pecahan, peratus dan perpuluhan dalam subjek matematik.

2.4 Perkembangan dan minat dari awal dalam bidang bahasa
Kanak-kanak pintar cerdas sering mempamerkan kematangan mereka dalam bidang bahasa dan menunjukkan minat yang tinggi dalam kemahiran membaca sejak dari awal perkembangan mereka. Terdapat kes di mana kanak-kanak termuda yang mampu membaca dengan baik adalah pada umur du atahun setengah. Ianya sesuatu yang jarang berlaku. Satu kajian yang dilakukan terhadap sekumpulan kanak-kanak berusia lima tahun menunjukkan 80 peratus daripada mereka dikenalpasti sebagai kanak-kanak pintar cerdas kerana kemampuan mereka menguasai kemahiran membaca pada usia yang cukup mentah (VanTassel-Baska, 1983).
Pada masa kini, pembaca muda yang dikenalpasti sebagai pintar cerdas menjadi berkurangan dari segi kebiasaannya disebabkan beberapa faktor. Di antara faktornya adalah saiz keluarga yang mengecil menyebabkan ibu bapa dapat memberi tumpuan kepada kemahiran membaca anak-anak mereka sejak dari awal tanpa perlu kanak-kanak tersebut meneroka kemahiran membaca mereka sendiri. Selain itu, program-program televisyen seperti ‘Sesame Street’ membantu kanak-kanak mengasah ilmu pembacaan mereka dengan mudah. Maka, pembacaan bukan lagi sesuatu yang luar biasa bagi seseorang kanak-kanak pada masa kini kerana ianya boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Ciri ini menjadi sesuatu yang mudah diramal dalam diri individu seseorang kanak-kanak pintar cerdas kerana faktor-faktor yang telah dinyatakan (Mills & Jackson, 1990). Namun, kanak-kanak pintar cerdas masih dapat dibezakan dengan kanak-kanak biasa dalam bidang bahas melalui kemahiran mereka membuat perkaitan atau hubungan di antara satu perkataan dengan satu perkataan lain. Keadaan in dapat diterjemahkan melalui kemahiran komunikasi dan juga penulisan mereka kerana perkara-perkara ini hanya mampu dibuat oleh mereka yang benar-benar memahami menggunakan perkataan-perkataan yang dipelajarinya dengan bermakna.  

2.5 Perasaan ingin tahu
Kanak-kanak pintar cerdas mempamerkan keinginan yang tinggi terhadap mengetahui tentang sesuatu perkara serta cuba memahaminya sehingga mereka puas. Mereka sering mencari sebab sesuatu perkara. Ibu bapa atau guru yang menjadikan ciri ini sebagai sesuatu untuk digilap bakat mereka akan membantu kanak-kanak ini membesar menjadi individu yang mempunyai personaliti mereka yang akan mengkaji serta membuat penemuan-penemuan alam. Persoalan-persoalan yang kerap dilontarkan oleh kanak-kanak pintar ini selalunya bersifat sesuatu yang luar biasa bagi usia mereka. Contohnya, mereka akan bertanyakan “Bagaimana dunia ini tercipta?” atau “Dari manakan saya berasal?” atau “Mengapa orang mati?”. Soalan-soalan seperti ini sudah cukup menunjukkan tahap perkembangan pemikiran mereka yang melampaui usia sebenar mereka.
Namun, pembinaan pengetahuan kanak-kanak ini terhadap rasa ingin tahu mereka boleh musnah jika ibu bapa atau guru tidak peka terhadap perkara ini. Mereka menganggap ianya sesuatu yang menjengkelkan dalam diri seseorang kanak-kanak yang begitu keap melontarkan pertanyaan kepada mereka. Disebabkan itu, ibu bapa dan guru perlu memenuhi kehendak kanak-kanak ini kerana ia akan membantu mengasah kepintaran yang mereka miliki.

2.6 Gemar melakukan kerja secara individu
Kanak-kanak pintar cerdas cenderung melakukan sesuatu penemuan atau kerja secara berseorangan. Mereka gemar membuat penemuan dengan cara mereka sendiri dan tidak mahu terikat dengan cara orang lain. Ciri ini menunjukkan mereka membentuk pengetahuan mereka sendiri untuk menyelesaikan masalah dan bukan bermakna mereka adalah golongan anti-sosial. Jika mereka membuat sesuatu kerja kumpulan, ahli kumpulan itu mungkin tidak mempunyai tahap pemikiran yang sama seperti kanak-kanak pintar cerdas yang lebih maju. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak itu berasa diri mereka tidak tercabar dan potensi mereka tidak dapat diterokai.

2.7 Kepelbagaian minat
Kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kapasiti pengetahuan yang luas dan ianya berinteraksi dengan memori yang baik akan menghasilkan minat yang pelbagai. Mereka mempunyai minat yang pelbagai baik dalam bidang matematik, sains atau bahasa. Namun, guru perlu bijak mentafsir minat-minat ini kerana terdapat kes di mana kanak-kanak ini menggunakan minat mereka dalam subjek-subjek yang tidak berkaitan. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak mengutarakan pendapatnya terhadap satu cerita yang dibacanya walhal kelas yang diikutinya adalah subjek matematik. Sesetengah guru melihat perkara sebagai tidak relevan. Disebabkan itu, guru perlu bijak menggunakan semua subjek merentasi kurikulum pengajaran dan pembelajaran agar minat golongan ini yang pelbagai dapat digabungjalinkan.

2.8 Keupayaan menjana idea-idea yang asli
Ciri ini merupakan satu komponen yang penting terdapat di dalam diri kanak-kanak pintar cerdas. Mereka mampu menjana idea mereka sendiri secara individu atau membuat kolaborasi idea-idea orang lain menjadi sesuatu yang baru. Sesetengah kanak-kanak pintar cerdas hanya menunjukkan kemampuan mereka mencetus idea dalam satu bidang sahaja tetapi terdapat juga kes di mana mereka mampu menjana idea dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak mampu membuat model rumah dengan reka bentuk yang baru lengkap dengan bekalan elektrik dan susunan perabot yang menarik.
Keupayaan menjana idea baru perlu mengambil kira ciri-ciri lain yang berkaitan dengan aplikasi kurikulum. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai pemikiran matematik yang baik akan mempunyai ciri-ciri berikut:-
·         Pemahaman tehadap aspek kuantitatif dalam banyak perkara.
·         Keupayaan berfikri secara logik dan simbolik tentang membuat hubungan dan kaitan.
·         Keupayaan membuat generalisasi tentang corak, struktur, kaitan dan operasi matematik.
·         Keupayaan membuat penaakulan, analisis secara deduktif dan induktif.
·         Keupayaan mengingat simbol, perhubungan, pembuktian, kaedah penyelesaian dan lain-lain.
·         Kemampuan menterjemahkan pembelajarannya ke dalam situasi sebenar.

3.0 CIRI-CIRI AFEKTIF KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Afektif didefinisikan sebagai perasaan atau emosi yang berkembang seiring dengan perkembangan kognitif individu. Krathwohl (1964) menyatakan bahawa afektif aalah berkaitan dengan penerimaan, tindakbalas, penyelarasan sistem nilai dan amalan sesuatu terhadap sistem nilai yang kompleks. Afektif merupakan sesuatu yang berkaitan dengan ciri-ciri perkembangan dari segi emosi dan sosial kanak-kanak pintar. Dalam perbincangan ini, hanya beberapa ciri sahaja yang akan dibincangkan berkaitan dengan pendidikan matematik.

3.1 Mengutamakan kepentingan orang lain
Kanak-kanak pintar cerdas yang berciri ini mempamerkan sikap yang gemar membantu orang lain di mana kesanggupan mereka mengajar atau mendidik orang lain.Golongan ini kebanyakkannya akan menjadi sukarelawan di hospital atau di pusat-pusat kebajikan. Mereka cenderung dalam bidang penyediaan perkhidmatan.  Di dalam pendidikan, kanak-kanak ini mempunyai sifat ingin membantu rakan memahami sesuatu perkara dan secara tidak langsung, proses pengajaran yang dilakukan membantu dia untuk membina pengetahuan baru dalam diri mereka.

3.2 Jenaka
Kanak-kanak pintar cerdas mempunyai keupayaan menghargai perkara-perkara yang tidak konsisten dalam kehidupan seharian mereka di mana mereka mengalami pengalamn yang pelbagai. Disebabkan itu, kanak-kanak ini mampu membuat jenaka yang mengaitkan pengalaman harian mereka secara bijak. Untuk membuat sesuatu jenaka adalah bukan perkara yang mudah berbanding membuat orang menangis. Hanya mereka yang berbakat sahaja mampu membuat jenaka secara spontan dan tidak nampak seperti dibuta-buat.

3.3 Emosi yang tinggi
Kanak-kanak pintar cerdas mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi. Mereka amat peka dengan keadaan sekeliling mereka walaupun sesuatu perkara itu dianggap oleh orang lain sebagai sesuatu yang remeh. Ciri ini kebanyakkannya dipandang negatif atau disalah tafsir oleh orang lain. Guru perlu prihatin terhadap ciri yang terdapat dalam individu ini agar mereka tidak merasa terasing atau rasa terabai semasa aktiviti pembelajaran berlangsung.

3.4 Mementingkan kesempurnaan
Kanak-kanak pintar cerdas amat mementingkan kesempurnaan dalam melakukan sesuatu perkara.  Setiap perkara yang dilakukan perlu dibuat secara teliti tanpa berlaku kesilapan kerana kegagalan menyebabkan mereka berasa rendah diri. Guru perlu memainkan peranan bagi memberi kesedaran kepada golongan ini bahawa melakukan kesilapan adalah satu proses pembelajaran dalam kehidupana. Kegagalan dan kesilapan merupakan satu proses yang mesti dilalui oleh semua orang.

3.5 Bertenaga
Kanak-kanak pintar cerdas merupakan individu yang bertenaga dalam melaksanakan sesuatu perkara. Apabila sesuatu tugasan diberikan, mereka akan segera melakukannya dan menerokainya secara mendalam. Sesuatu perkara itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Ciri ini bagi sesetengah keadaan mengundang rakan-rakan sebaya melihatnya sebagai sesuatu yang negatif seperti melihatnya sebagai perkara yang sengaja dilakukan untuk menarik perhatian orang lain. Guru perlu bijak agar kanak-kanak lain tidak memandang perkara ini sebagai sesuatu yang negatif. Kanak-kanak pintar cerdas berciri ini mudah berasa bosan dan kecewa jika perkara yang dilakukan atau diberi tidak memerlukan mereka melakukan sesuatu perkara itu secara bekerja.

3.6 Komitmen dan perhubungan yang tinggi
Kanak-kanak pintar cerdas cenderung berkawan dengan mereka yang lebih berusia daripada mereka kerana kematangan yang dimiliki oleh golongan ini. Disebabkan perkara ini, kanak-kanak pintar cerdas perlu mempunyai mentor atau pembimbing yang baik untuk menjadi contoh teladan kepada mereka menjadi individu yang cemerlang.

                Semua ciri-ciri afektif ini amat penting agar pemahaman terhadap struktur personaliti kanak-kanak pintar cerdas dapat difahami. Silverman (1993) menyatakan konsep kognitif dan afektif kepintaran sesorang  perlu disalingkaitkan antara satu sama lain. Integrasi ini perlu bagi memenuhi kehendak atau keperluan kanak-kanak pintar cerdas secara menyeluruh dan efektif.

4.0 KEPERLUAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS
Perkara yang penting untuk melihat keperluan kanak-kanak pintar cerdas adalah melalui pemahaman ciri-ciri yang terdapat pada diri mereka. Setiap langkah yang diambil perlu bersesuaian dengan ciri-ciri yang dimiliki agar potensi mereka dapat dicapai secara optimum.
Hakikat yang berlaku di dalam dunia pendidikan kini, kanak-kanak pintar cerdas dilihat sebagai sesuatu yang tidak normal kerana tidak menepati standard kognitif, emosi dan aktiviti fizikal yang dimiliki oleh golongan yang sebaya dengannya. Perkara ini menyebabkan keperluan mereka tidak dapat dipenuhi semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka berlangsung di sekolah. Guru-guru tidak dapat menyediakan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan diri mereka.
Jika dikaji berdasarkan ciri-ciri yang dimiliki, guru pasti dapat memenuhi kehendak kanak-kanak pintar cerdas. Kanak-kanak yang mempunyai keupayaan memanipulasi simbol matematik dengan baik mampu membantu guru mengajar kanak-kanak lain memahami konsep sesuatu tajuk matematik. Guru perlu menyediakan soalan-soalan yang mencabar kanak-kanak ini. Dalam pada masa yang sama, guru juga boleh mempelajari sesuatu yang baru daripada pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas.
Kanak-kanak yang mempunyai daya tumpuan yang tinggi membolehkan guru memberikan mereka satu projek khas kepada mereka. Sebagai contoh, guru memberikan set batang lidi dan meminta kanak-kanak ini membina projek geometri 3D. Contoh projek ini boleh ditunjukkan kepada kanak-kanak lain agar mereka juga melihat sudut pandang yang berbeza bagi topik tersebut. Selain itu, projek ini juga dapat memenuhi kehendak ciri-ciri seperti kanak-kanak yang bertenaga dan keupayaan mereka menjana idea-idea baru.
Selain itu, kanak-kanak pintar cerdas perlu dirujuk kepada institusi pengajian tinggi agar program khas dapat dijalankan bersesuaian dengan keperluan yang dimiliki oleh kanak-kanak ini. Di antaranya, program cuti sekolah yang mengumpulkan kanak-kanak pintar cerdas untuk berkongsi idea dan melakukan aktiviti-aktiviti yang mencabar pemikiran mereka. Program ini perlu diselia oleh mereka yang mempunyai kemahiran yang sesuai agar potensi kanak-kanak ini dapat digilap dengan baik.
Kanak-kanak pintar cerdas boleh digalaskan dengan tanggungjawab yang lebih di sekolah. Sebagai contoh, mereka boleh ditugaskan menyelia perpustakaan atau mentadbir kelas atau persatuan. Perkara-perkara ini memberikan mereka ruang kebebasan untuk membuat keputusan dalam kehidupan seharian mereka.
Dari segi kurikulum pula, guru tidak boleh mengajar golongan ini secara biasa. Guru perlu membiarkan kanak-kanak ini membuat penemuan mereka sendiri dalam memahamkan mereka kepada konsep sesuatu tajuk. Selain itu, pengajaran yang mengikut langkah demi langkah juga perlu dielakkan agar kanak-kanak ini tidak berasa bosan dan kecewa dengan aktiviti pengajaran dan pemeblajaran di dalam kelas. Guru juga perlu menyediakan bahan pembelajara yang pelbagai. Sebagai contoh, guru memberikan kepingan geometri 2 dimensi dalam tajuk tangram. Murid-murid perlu menghasilkan seberapa banyak bentuk yang mereka mampu buat. Ini adalah kaedah penerokaan yang baik kerana murid tidak terikat dengan sebarang kekangan.




5.0 KESIMPULAN
Keperluan kanak-kanak pintar cerdas perlu dipenuhi kerana mereka mempunyai hak dalam mendapat akses pembelajaran yang ekuiti. Guru perlu peka memerhatikan ciri-ciri yang terdapat di dalam kanak-kanak pintar cerdas agar kesesuaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bukan sahaja memenuhi kehendak murid biasa tetapi juga kanak-kanak pintar cerdas. Guru juga perlu memastikan golongan ini tidak rasa terabai atau terasing kerana keadaan yang berlaku kini melihatkan mereka sering tidak diendahkan kewujudan mereka.
Kanak-kanak pintar cerdas sama seperti populasi lain yang memerlukan keadaan yang normal dalam pengajaran dan program khas perlu dibuat agar keperluan ini dipenuhi. Ciri ciri seperti kepelbagaian minat, perasaan ingin tahu yang tinggi, dan keupayaan mereka memanipulasi simbol memerlukan pihak sekolah bertindakbalas terhadap ciri-ciri ini. 
                Kebanyakkan kanak-kanak pintar cerdas tidak dapat berkembang potensi mereka tanpa didikan dan panduan yang betul. Didikan yang dimaksudkan merangkum aspek didikan di rumah, sekolah dan juga di dalam komuniti itu sendiri. Selain itu, program pendidikan yang tidak memadai bagi seseorang kanak-kanak pintar cerdas adalah disebabkan penekanan kepada asas kemahiran semata-mata. Kanak-kanak pintar cerdas pada hakikatnya sudah pun mempunyai asas tersebut. Kanak-kanak ini memerlukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna agar potensi diri mereka diterokai sepenuhnya sepanjang perkembangan mereka menjadi individu yang berjaya.


Rujukan

A.Sousa, D. (2003), How The Gifted Brain Learns. California: Corwin Press Inc.  
Conklin, W. & Frei, S. (2009). Differenting the Curriculum for Gifted Learners. California: Shell Education.
Franklin Smutny, J. (2003), Designing and Developing Programs for Gifted Students. California: Corwin Press Inc.
Gray-Fow, B. (2005). Discovering and Developing Talent in Schools. An Inclusive Approach. London: David Fulton Publishers.
N.Parke, B. (2003), Discovering Programs for Talent Development. California: Corwin Press Inc.
Shore, B.M., Cornell, D.G., Robinson, A., Ward, V.S. (1991). Recommended Practises In Gifted Education. New York: Teachers College Press.
Silverman, L.K.(2000). Counseling The Gifted & Talented. Denver : Love Publishing Company. 
Sternberg, R.J. (2004). Definitions and Conceptions of Giftedness. California: Corwin Press.
VanTassel-Baska,J. (2007) Excellence In Educating: Gifted & Talented Learners (3rd Edition). Denver: Love Publishing Company.
Winebrenner, S. (2001). Teaching Gifted Kids in the Regular Classroom. Minneapolis: Free Spirit Publishing Inc.

No comments:

Post a Comment